Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/wajibkan-polisi-naik-gaji-pekerja/
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewajibkan majikan memasukan polisi kenaikan gaji berdasarkan prestasi kerja, kadar inflasi dan keadaan semasa ekonomi negara dalam isi kandungan perjanjian antara syarikat dan pekerja.
Ketika ini, ramai pekerja tidak diberikan hak untuk menerima kenaikan gaji memandangkan kebanyakan majikan mengambil jalan mudah dengan tidak memasukkan perjanjian tersebut kerana berharap pekerja terus dibayar kadar gaji yang sama setiap tahun.
Pendekatan itu sekali gus menyebabkan pekerja menerima kadar upah sama seperti mereka mula bekerja dan hanya bergantung kepada kerja lebih masa untuk menikmati bayaran tambahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, sudah tiba masanya Akta Kerja 1955 dipinda dan dimasukkan perjanjian polisi kenaikan gaji untuk pekerja.
Menurut beliau, ketika ini kebanyakan pekerja sektor swasta hanya bergantung harap kepada pelaksanaan gaji minimum yang tidak seberapa dilaksanakan sejak 2014 kerana tidak menerima imbuhan kenaikan tahunan.
“Situasi (tiada kenaikan) ini berlaku apabila majikan tiada terma perjanjian bersama kesatuan pekerja. Kerajaan juga tiada usaha mewajibkan perkara ini bagi membela nasib pekerja di sektor swasta.
“Mereka hanya tunggu kenaikan gaji minimum, contohnya pekerja yang menerima gaji RM1,000. Jika tiada kenaikan gaji itulah yang mereka terima selama bertahun-tahun walaupun menunjukkan prestasi baik.
“Ketika ini, dalam Akta Kerja 1955 tiada peruntukan kenaikan tahunan mengikut kadar inflasi, indeks harga pengguna dan tahap ekonomi negara untuk pastikan majikan menaikkan gaji pekerja setiap tahun,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1.5 juta daripada 9.4 juta pekerja Malaysia menerima gaji dan upah di bawah RM3,000 walaupun sudah bekerja antara lapan hingga 10 tahun.
Kumpulan tersebut termasuk siswazah yang dibayar gaji sedikit seperti direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang melaporkan mereka sanggup menerima gaji antara RM1,001 hingga RM1,500, asalkan mempunyai pekerjaan dan meraih pendapatan.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan sama ada pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mencukupi untuk para pekerja menyara hidup mereka ketika ini. Ini kerana Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia bagi tahun 2021 ialah RM2,208.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, ketika ini, hanya terdapat lapan hingga sembilan peratus pekerja sektor swasta yang mempunyai perjanjian bersama antara kesatuan dan majikan untuk kenaikan gaji.
“Boleh dikatakan hampir keseluruhan pekerja di Malaysia ketika ini tiada perjanjian tentang kenaikan gaji malah, lebih teruk ada majikan yang ambil peluang menafikan perkara ini dan mengambil sikap lepas tangan,” katanya.
Selain itu, katanya, bagi meningkatkan gaji pekerja, majikan juga disaran meningkatkan kemahiran para pekerja menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan seterusnya membayar gaji berdasarkan kemahiran.
“Kerajaan juga perlu memastikan menjadi tanggungjawab majikan dan syarikat untuk meningkatkan prestasi pekerja dan menanggung segala kos untuk meningkatkan kemahiran dan melaksanakan kenaikan gaji berdasarkan prestasi.
“Sudah tiba masanya majikan melakukan perubahan dalam soal gaji pekerja dan tidak menilai berdasarkan buku undang-undang yang hanya mementingkan soal kehadiran, datang kerja pukul berapa dan balik pukul berapa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, situasi sekarang menyebabkan pekerja sektor swasta terpaksa bekerja lebih masa terlalu lama iaitu empat jam sehari dan kira-kira 104 jam sebulan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.