Oleh : CIK MAHANI BT YUSOFF
Pada Disember 2021, inflasi kesemua negeri berada dalam jajaran yang positif di mana lapan negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 3.2 peratus. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (3.9%) manakala Sarawak (2.5%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.3%) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (2.0%) merupakan tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah.
Peningkatan inflasi di Terengganu disumbangkan terutamanya oleh Pengangkutan dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang masing-masing meningkat sebanyak 12.8 peratus dan 2.9 peratus. Dari aspek penggunaan, kedua-dua kumpulan ini menyumbang sebanyak 51.0 peratus kepada perbelanjaan Terengganu.
Di Sarawak, peningkatan inflasi 2.5 peratus adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain yang meningkat 0.5 peratus kesan dari pelanjutan diskaun elektrik sehingga Disember 2021. Di samping itu, kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol turut menunjukkan peningkatan harga yang sederhana.
Pada masa yang sama, inflasi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga merekodkan inflasi di bawah paras inflasi nasional iaitu 2.3 peratus. Ini disebabkan oleh peningkatan yang lebih perlahan bagi indeks kumpulan Pengangkutan (5.0%) berbanding negeri lain. Kenaikan 17.8 peratus bagi purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 pada Disember 2021 berbanding Disember 2020 memberi kesan kepada peningkatan indeks kumpulan Pengangkutan di seluruh negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, sumbangan 5.0 peratus Petrol Tanpa Plumbum RON95 kepada inflasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang lebih rendah berbanding negeri lain menyebabkan kenaikan yang berlaku tidak memberi kesan yang ketara kepada peningkatan inflasi negeri ini. Isi rumah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai pilihan pengangkutan awam selain pengangkutan persendirian seperti komuter dan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk tujuan perjalanan.
Seperti di Sarawak, kenaikan sederhana inflasi di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan juga disebabkan oleh pelanjutan diskaun elektrik kepada semua isi rumah sehingga Disember 2021 dan kadar kenaikan harga sayur-sayuran yang terkawal.
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi inflasi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.3%) diikuti oleh Johor (3.7%), Perak (3.3%) dan Pahang (3.2%). Sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 3.2 peratus pada Disember 2021. Peningkatan yang berlaku adalah disebabkan 14 oleh kenaikan harga sayur-sayuran, telur, ikan & makanan laut pada Disember 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Sumber: DOSM, Penerbitan Indeks Harga Pengguna, Disember 2021