Oleh : CIK HAMIDAH BT MOHD ZAKIR
6 Tip Kekal Sihat di Musim Panas
Malaysia merupakan negara beriklim khatulistiwa. Iklim ini tiada musim panas dan sejuk yang ketara tetapi bercuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Namun begitu, ketika waktu panas, cuaca di negara kita ini mampu mencecah sehingga 40 darjah celsius. Walaupun ada segelintir individu yang menyukai cuaca sebegini terutamanya pelancong asing, ia sebenarnya akan mendatangkan pelbagai kemudaratan kepada kesihatan kita.
Paling menakutkan, cuaca sebegini boleh menjadi punca terjadinya strok haba (heat stroke). Ia adalah sejenis penyakit yang mempunyai kaitan dengan haba dan merupakan kategori yang paling serius. Penyakit ini akan menyebabkan kegagalan mekanisme peraturan suhu badan (thermoregulation) dan boleh mengundang maut. Bagi mengelakkan perkara sebegini terjadi, perkongsian artikel ini berkaitan tip-tip kekal sihat di musim panas.
#1. Banyakkan minum air putih dan isotonic
Paling penting, anda perlu sentiasa kekal berhidrasi. Untuk itu, anda perlu banyak minum air putih tanpa mengira tahap aktiviti fizikal seharian anda. Selain itu juga, anda juga boleh minum air isotonik untuk menggantikan garam dan mineral yang keluar melalui peluh.
#2. Kurangkan minum air berkafein, bergula dan beralkohol
Kebanyakan individu akan menganggap semua air adalah sama dan kerap minum air ketika musim panas adalah keputusan yang betul. Namun begitu, anda juga perlu tahu bahawa air berkafein, bergula atau beralkohol adalah tidak bagus untuk kesihatan terutamanya ketika musim panas. Ini kerana minuman sebegini hanya akan mengakibatkan individu kerap membuang air kecil lalu menyebabkan kekurangan cecair dalam badan.
#3. Luangkan masa dengan bijak
Apa yang perlu dilakukan oleh individu ketika musim panas adalah lebihkan masa berada di dalam rumah dan hadkan aktiviti luar. Ini bertujuan melindungi anda daripada panas dan terik cahaya matahari. Ambil peluang ini untuk memanjakan diri anda dan berehat di hadapan kipas atau penyaman udara di dalam rumah.
#4. Sapukan losyen pada kulit
Bagi memastikan kulit anda kekal gebu, bersih, sihat dan dilindungi sepanjang musim panas ini, anda boleh sapukan losyen pada kulit. Gunakan losyen ‘sunblock’ bagi mengelakkan kulit anda terbakar.
#5. Jangan duduk lama di dalam kenderaan
Anda tidak sepatutnya duduk di dalam kenderaan terutamanya yang tidak mempunyai penyaman udara untuk waktu yang lama. Ini kerana bahang yang terkumpul di dalam kenderaan boleh mendatangkan kemudaratan buat anda.
#6. Pakai pakaian yang sesuai
Pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap hanya sesuai dipakai ketika musim sejuk atau waktu malam. Ia tidak sesuai dipakai ketika matahari berada tegak di atas kepala. Oleh itu, pakailah pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang ketika musim panas ini. Selain pakaian, gunakan aksesori seperti topi atau payung bagi melindungi anda daripada panas dan terik cahaya matahari. Rancang aktiviti seharian anda seeloknya bagi meminimakan pendedahan anda terhadap panas dan terik cahaya matahari. Jika berlaku sebarang masalah pada kulit atau kesihatan anda secara umumnya, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.