“Teng-ya-nung”…Sejarah kita

  Oleh : EN AZRULNIZAM BIN ZUL

 

"Teng-ya-nung"…Sejarah kita

 

Sejarah menunjukkan Terengganu dan daerah Kuala Terengganu telah dikenali beratus-ratus tahun dahulu. Dalam kedua-dua buku sejarah China yang dikarang oleh Cao-Cu-Fei pada tahun 1178 dan Cu-Ju-Kua' pada tahun 1226, menyebut "Teng-ya-nung". Kedua-dua nama ini merujuk kepada nama Terengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-Fo-Cih) pada kurun ke-2. Ptolemy seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu, pelabuhan itu ialah Primula dan Kole. Primula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman.

 

Kuala Terengganu masih mengekalkan ciri-ciri kemelayuan yang masih utuh dan digabungkan dengan warisan dan budaya lain disebabkan sejarah panjangnya sebagai pelabuhan.

 

Sebagai ibu negeri Terengganu yang juga dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, bandaraya ini berperanan penting dalam politik dan ekonomi seluruh negeri. Kuala Terengganu terkenal dengan nama bandar diraja dan kawasan perniagaan utama terletak di jalan Kampung Cina, Jalan Banggol dan Tanjong. Kini, Kuala Terengganu berubah menjadi sebuah bandar raya moden yang mengekalkan ciri-ciri tradisional. Kepesatan Kuala Terengganu dapat dilihat dari segi pembangunan infrastruktur. 

 

Antara tempat menarik adalah Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Taman Tamadun Islam, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT),  Wisma Darul Iman, Kampung Cina (Kuala Terengganu China Town), Pasar Payang, Istana Maziah, Muzium Negeri Terengganu, Rumah Warisan Haji Su, Pantai Batu Burok, Pantai  Pandak, Pulau Duyong, Kota Duyong Lama, Masjid Kristal, Masjid Tengku Tengah Zaharah, Bazar Warisan, Payang Walk, Bukit Puteri, Bukit Besar, Bukit Panorama, Kuala Terengganu  Waterfront, Dataran Shahbandar, Pulau Warisan dan Kompleks Kraf Noor Arfa. Kuala Terengganu juga mempunyai beberapa produk pelancongan berasaskan komuniti  seperti di Kampung Banggol Cempedak, Kalang Warisan Pulau Manis dan Kampung Pengkalan Setar. 

 

Kuala Terengganu sememangnya terkenal dengan produk kraftangan yang bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa terutamanya produk tenunan songket, batik, ukiran tembaga dan ukiran kayu. Kuala Terengganu juga terkenal dengan keunikan kesenian kebudayaan seperti tarian Ulek Mayang, Tarian Rodat, Tarian Saba, Tarian Balai, Tarian Gayung  Otar-Otar, permainan gasing dan permainan wau.

 

Kuala Terengganu juga terkenal dengan beberapa produk makanan seperti Nasi Dagang Atas Tol, Fauzi Nasi Kerabu, Keropok Lekor Losong, Nasi Dagang Kak Pah, Kedai Kuih Gong Kapas, Medan Ikan Bakar Bawah Jambatan dan pelbagai lagi kuih tradisional.

 -

 

Kredit: Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Terengganu 
Petikan: My Local Stats Kuala Terengganu, 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia

 

Previous Post Next Post